Hukum Syar’ie (Hukum Fiqh)

Mac 28, 2007

Selain dari hukum akal, wajib bagi kita mengetahui ilmu syara’ atau hukum syari’ie, yakni hukum fiqih.

Erti hukum syar’ie ialah hukum- hukum agama Islam yang merupakan perintah Allah atau larangannya. Yang mana tiap-tiap orang Islam yang mukallaf, yakni yang sudah diberati hukum syara’ atau yang dikatakan akhil-baligh, artinya orang yang berakal sehat dan cukup dewasa, maka wajib atasnya mengetahui hukum tersebut.

Maka hukum itu terbahagi kepada dua:

a) Khitabut-taklif
b) Khitabul-wadh’i

kitabut-taklif ialah suatu hukum yang bergantung kepada sebab dan syarat atau maanii (cegahan).

Misalnya diwajibkan orang melakukan sembahyang lima waktu sebab ia sudah akhil baligh dan sudah masuk waktunya. Maka waktu itu adalah merupakan satu syarat dan sebab orang Islam wajib melakukan sembahyang. Jadi tidak wajib melakukan sembahyang ke atas anak kecil dan tidak wajib jika belum datang waktunya. Dan tidak wajib orang perempuan yang beragama Islam melakukan sembahyang kerana dia datang haid atau bersalin maka inilah yang dinamakan “maanii” menurut hukum syara’

Khitabul-wadh’i ialah suatu hukum, yang Tuhan letakkan dan tentukan pada tiap-tiap makluk, misalnya ilmu ikan hidup di dalam air dan manusia hidup di daratan.

Dan misalnya yang lain, kaum ibu Tuhan jadikan yang mengandung dan melahirkan. Demikian Tuhan letakkan dan tentukan pada diri kaum ibu sejak dahulu sampai sekarang.

Demikian Tuhan jadikan dan letakkan hukumnya pada tiap-tiap diri manusia. Besar dan kecil, tua dan muda, laki-laki dan perempuan, manusia mempunyai lapar. Oleh demikian mereka berkehendakkan makanan.

Namun bagi bangsa malaikat Tuhan jadikan dan tentukan, hukumnya lain lagi. Mereka tidak ditaruh (diberikan) rasa lapar dan rasa haus. Oleh kerana itu mereka tidak berhajat akan makanan dan minum dan sebagainya. Demikianlah erti dan maksud yang dinamakan “Khitabul-Wadhi

Advertisements

Hukum Aqli (Hukum Akal)

Mac 28, 2007

Yang dimaksudkan dengan hukum akli, adalah hukum akal. Sesungguhnya yang dinamakan akal yang sempurna, ialah satu cahaya yang gemilang yang terletak di dalam hati orang mukmin. Maka dengan sebab akal itu, orang dapat mengetahui apa yang dikatakan “ilmu dharuri” iaitu satu ilmu yang tidak memerlukan dalil-dalil atau keterangan dan dengan sebab akal itu pula orang dapat mengetahui ilmu “Nadzhari” iaitu ilmu yang memerlukan dalil-dalil atau keterangan.

Dan erti hukum akal itu, menetapkan suatu barang bagi adanya suatu barang. Atau menidakkan suatu barang kerana lantaran tidaknya suatu barang yang lain. Misalnya adanya sebuah rumah, lantaran adanya tukang rumah, Maka mustahil rumah itu jadi dengan sendirinya.

Demikian pula misalnya tidak ada sebuah rumah, kerana lantaran tidak ada tukang yang membuatnya dan dapat diqiaskan seterusnya.

Hukum Akal terbahagi kepada 3;

Wajib:

Iaitu barang yang tidak dapat diterima pada akal akan tidaknya, misalnya Allah itu wajib adanya.

Mustahil:

Iaitu barang yang tidak dapat diterima pada akal akan adanya, Misalnya mustahil Allah “tidak ada”.

Jaiz:

Iaitu barang yang harus (yakni mungkin) saja adanya atau tidaknya alam yang baharu ini. 


Wajib menuntut ilmu agama

Mac 23, 2007

 

Para pembaca sekelian,

Menuntut ilmu agama adalah wajib hukumnya. Berdosalah orang yang meninggalkannya. Inilah termasuk perintah agama sebagaimana sabda Nabi s.a.w ” Menuntut ilmu fardu atas tiap-tiap orang Islam

Selain dari itu wajib pula atasnya marifatullah, Yakni mengenal ia akan sifat-sifat Allah dengan seyakin-yakinnya, seperti diterangkan didalam kitab Zuba: Awwalu waajibin’ alal insaani, huwu ma’fifatullahi bi istiiqooni” artinya awal dan pertama atas manusia, ialah mengenal Allah dengan seyakin-yakinnya.

Suatu keterangan kitab Khotbah Habib Thohir bin Husain sebagai berikut: Fa’lamuu ayyuhal ikhwah, Annal ashla wal-asaasa ma’rifatul ma’buudi qoblal ibaadat wa dzalikaa haqiqotu ma’nasy syahadaati” artinya: ketahuilah wahai saudara sekalian, Sesungguhnya asas dan pokok agama ialah, mengenal betul siapa yang disembahnya, sebelum ia melakukan amal ibadat. Dan demikian arti hakikat syahadat itu.

Ibarat seorang pegawai harus mengenal siapa dia bekerja dan siapa yang menjadi majikan kerana majikannya itu yang memberi gaji padanya. Dan jangan bekerja cuma asal bekerja saja. Kerana itu dia harus mengetahui peraturannya.

Jika saudara mengetahui hakikat makna dua kalimah syahadah itu, mengetahui akan ma’rifatullah, Juga hendaknya saudara mengetahui ikhtikad yang jazim atau jazam yang muafakat pada hak dengan dalil, yakni yang dapat diterima pada akal serta dengan dalil dan keterangannya.

Arti Jazim atau jazam menurut ilmu Usul adalah iktikad yang pasti, kepercayaan yang tida ragu-ragu, dan bukan syak wasangka. Menurut istilah sekarang kepercayaan yang tegas, kokoh kuat, tidak dapat ditawar-tawar.

Maka yang dinamakan jazam itu terbahagi kepada empat bahagian seperti berikut:

1. Jazam
Yang muafakat pada hak, serta dengan dalil, inilah yang dinamakan MAKRIFAT.

2. Jazam
Yang muafakat pada hak tapi tidak dengan dalil, inilah yang dinamakan TAQLID SHAHID

3. Jazam
Yang tidak muafakat pada Haq, tapi dengan dalil, inilah yang dinamakan JAHIL MURAKKAB.

4. Jazam
Yang tidak muafakat pada hak dan juga tidak dengan dalil, inilah yang dinamakan TAQLID BATHIL


Rukun Iman

Mac 5, 2007

 

Segala puji bagi Allah yang memiliki sekelian alam. Dengan puji-pujian yang lengkap meliputi akan nikmatNya serta menambahkan kurniaNya.

Semoga selawat dan salam yang sempurna atas junjungan kita Nabi Muhammad saw dan semoga atas para keluarga dan sahabatnya sekelian dan pada yang mengikut akan syari’atnya sampai hari kemudian.

Pembaca yang budiman,

Ketahuilah sesungguhnya nikmat pemberian Allah yang paling besar kepada umat manusia adalah nikmat Islam dan ni’mat Iman. Kerana kedua ni’mat itu Allah jadikan sebab bagi manusia masuk kesyurga yang kekal di dalamnya, selamat dari api neraka dengan lantaran taat ibadat kepada Allah ta’ala. Maka dengan pengertian, maka tanpa Iman dan Islam, seseorang itu tidak berhak masuk ke syurga.

Maka oleh kerana itu, wajiblah atas tiap-tiap diri orang yang beragama Islam, yang dikatakan mukallaf, orang yang berati hukum syara, aqil baligh orang yang berakal fikiran sihat dan berumur dewasa, agar supaya menuntut ilmu agama, mempelajari Ilmu fiqih dan Ilmu Usul. Mengerti ilmu rukun-rukun Islam dan rukun-rukun Iman supaya bersyukur kepada Allah, serta melaksanakan amal-amal ibadat dengan memenuhi syarat rukunnya kerana mengetahui ilmunya. InsyaAllah dengan begitu amalnya dapat diterima oleh Allah subhanahu wa ta’ala.

Rukun Islam Lima perkara

1. Mengucap dua kalimah syahadat
2. Mendirikan solat fardu yang lima waktu
3. memberi zakat
4. Puasa sebulan ramadan
5. Menunaikan ibadat haji

    Ilmu pengetahuan rukun Islam

Ilmu rukun Islam yang pertama-tama mengetahui dan mengerti akan erti dan makna dua kalimah syahadah. Iaitu yang dikatakan Ilmu Usuluddin, ilmu pokok agama Islam atau dinamakan juga ilmu Tauhid, yakni ilmu Makrifat, ialah mengenal Allah dengan segala sifatnya.

Maka dengan ilmu itu, orang dapat mengenal sifat-sifat yang wajib bagiNya, yang mustahil padaNya, juga yang ja’iz bagiNya. Demikian pula dengan ilmu itu orang dapat mengenal sifat-sifat wajib adanya bagi tiap-tiap Nabi dan Rasul. Mengenal sifat-sifat yang mustahil bagi Rasul-Rasul itu, dan yang Ja’iz bagi Rasul-Rasul. Maka dengan ilmu itu orang jadi mengetahui makna dua kalimah syahadah.

Dipetik dari Kitab awalluddin: Sifat Dua Puluh 2:5
Terbitan: Syarikat Maktabatul Madaniyyah (Indonesia)
Susunan Utsman Bin Abdullah Bin Aqil Bin Yahya. Afallohu ‘anhu Aamiin
Terjemahan Ustaz Musannif Effendie
Jakarta 1324 Hijrah