Ikhlas dalam perjuangan

April 1, 2007

Pejuang Islam mestilah ikhlas dan mempunyai niat yang sebenar kerana Allah, menuntut keredhaanNya dengan menegakkan agamanya sehingga didaulatkan.

Abu Musa Al- Ashaari menceritakan: seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah, dia berkata: Orang yang berperang kerana mahukan harta rampasan, orang yang berperang kerana mahukan disebut orang, berperang kerana riya’, maka siapakah yang dikira berperang pada jalan Allah? Sabda Rasulullah: Sesiapa yang berperang supaya “kalimatulllah‘ itu menjadi tinggi, maka dialah yang berperang di jalan Allah.

Ini bermaksud perjuangan untuk menegakkan Islam menurut situasi dan keadaan samaada melalui pilihanraya sehinggalah berperang di negeri, tidak ada cara lain daripada mestilah dengan niat yang Ikhlas. Firman Allah swt:

Dan tidaklah diperintahkan kepada meraka melainkan mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas dalam menjalankan perintah agama dengan lurus (al-Bayyinah:5)

Apabila mengikhlaskan niat kerana Allah semata-mata maka mestilah membersihkan hati daripada sifat-sifat yang merosakkan niat seperti riya’, ujub dan sum’ah.

Advertisements

Menjadi Pendakwah yang disukai

Mac 21, 2007

Individu hanya dapat mempengaruhi sikap, pemikiran dan tingkah laku individu-individu yang menyukai diri kita. Orang yang berhasrat menjadi pendakwah yang memiliki daya pengaruh yang tinggi langkah pertama adalah meningkatkan daya tarikan sosial.

Dalam erti kata lain individu perlu memperbanyakkan ciri-ciri peribadi yang dapat membuatkan dirinya mudah disukai ramai.

Gaya bercakap seseorang dipengaruhi oleh emosinya. Apabila seseorang menyukai lawan bualnya, percakapan dan perbualannya dengan orang itu dipenuhi oleh ciri-ciri komunikasi yang positif di mana dia banyak memuji-muji orang itu dan dia seronok dengan kehadirannya.

Manusia tertarik dan suka berinteraksi dengan individu-individu yang memenuhi keperluan jiwanya kerana orang seperti itu menaikkan estimnya dan membuatkan mereka berasa seronok dengan keadaan diri mereka sendiri. Apabila individu-individu seperti itu juga mengasihinya, estimnya naik lebih tinggi lagi dan jiwa dan kalbunya berasa tambah seronok. Itu sebabnya manusia menyukai orang yang suka dan kasih kepadanya. Dia berasa senang dengan kehadiran orang seperti itu. Oleh itu, dia suka berada bersama-sama mereka. Dia juga suka bercakap-cakap dan berbual-bual dengan mereka.

Tahap pertama dalam berdakwah adalah menjadi seorang yang mudah disukai oleh mereka yang menjadi sasaran dakwah. Apabila mereka suka kepada si pendakwah, mereka akan suka dengan kehadirannya di mana mereka suka bertemu, berkenalan, berkawan, bercampur gaul, bersahabat dan berkasih sayang dengannya.

Pakar-pakar psikologi dan pakar-pakar komunikasi memberi panduan bagaimana menjadi orang yang mudah disukai:

Tingkatkan sikap mudah menyumbang dan memberikan kerjasama kepada sesiapa sahaja. Dalam erti kata lain, kita itu mesti suka menolong orang lain. Ini penting. Manusia suka kepada manusia lain yang suka menolong orang lain. Orang yang pernah menerima pertolongan daripada seseorang menyukai orang yang menolongnya. Kajian pakar psikologi mendapati, orang yang pernah menerima pertolongan seorang mudah terpengaruh oleh kata-kata, pandangan dan nasihat orang yang pernah menolong mereka. Satu perkara yang menarik adalah, kajian mendapati seseorang itu cenderung menyukai orang yang pernah ditolongnya.

Jadilah orang yang jujur, ikhlas dan berhati baik. Gambarkan sifat-sifat mulia itu dalam percakapan dan perbualan. Manusia memang suka kepada orang yang memiliki sifat-sifat itu. Bagi menggambarkan kita seorang yang baik, jangan suka bercakap hal-hal yang negatif. Apabila bercakap, bercakaplah perkara-perkara yang baik sahaja. Jangan sekali kali ‘bersandiwara’ kerana apabila orang tahu kita cuma berpura-pura baik, sampai mati orang akan benci kepada kita. Kita tidak mungkin dapat membuat orang yang curiga pada kejujuran dan keikhlasan kita supaya menyukai diri kita.

Kurangkan bercakap. Ada orang pandai dan petah bercakap sehingga melakukan kesilapan “banyak cakap”. Sifat ini membuatkan orang yang mendengar tidak suka perangai ini. Banyakkan mendengar daripada bercakap. Biar orang yang hendak dipengaruhi itu yang mendapat banyak peluang ber-cakap. Adalah sifat manusia suka mendengar suaranya sendiri, oleh itu manusia suka kepada orang yang membenarkannya mendengar suaranya sendiri barulah dia bersikap terbuka kepada pandangan dan nasihat kita dan dengan itu barulah kita dapat mempengaruhinya.

Tingkatkan kemahiran menarik minat orang lain kerana manusia sentiasa menghargai kata-kata pujian. Gunakan teknik-teknik yang betul apabila memberi pujian. Selalulah ucapkan kata-kata penghargaan. Manusia mudah terpengaruh dengan kata-kata orang yang pandai memberi pengiktirafan dan penghargaan kepadanya. Orang yang pernah menerima pengiktirafan, pujian dan penghargaan daripada seseorang bersikap lebih terbuka kepada pendapat dan nasihat orang itu. Sebaliknya mereka tidak suka orang yang banyak mengkritik dan menegur mereka meskipun niatnya adalah baik.

Apabila bercakap-cakap dan berbual-bual gunakan gaya positif dan kooperatif. Gaya positif tidak menggunakan perkataan negatif. Gaya kooperatif pula bermakna seseorang itu tidak tunjuk dia seorang yang lebih pandai dengan cara membuktikan orang lain bodoh, salah atau tidak betul. Orang yang tidak pandai berkomunikasi cenderung membuktikan orang lain bodoh bagi membuktikan dirinya pandai. Tidak ada orang yang suka dirinya dibuktikan salah dan lebih bodoh daripada orang lain. Orang yang pernah kita buktikan bodoh, salah dan silap tidak akan menyukai kita. Orang yang bijaksana menggunakan cara-cara lain yang lembut dan sopan bagi membuktikan diri mereka betul.

Apabila berbual-bual, jangan tunjukkan kita berminat dengan diri sendiri. Ramai orang suka bercakap “saya saya saya…” daripada mula bercakap sampai habis. Ia membosankan orang yang mendengar. Oleh itu berjimat cermat apabila menggunakan perkataan ‘saya.’ Manusia memang berminat dengan dirinya sendiri dan mereka menyangka cerita mereka adalah paling menarik untuk diperdengarkan kepada orang lain. Ingatlah, cuma kita sahaja yang yakin cerita diri kita adalah cerita yang paling seronok didengar. Bagi menjadi orang yang disukai oleh orang lain, jangan banyak bercerita tentang diri sendiri, sebaliknya galakkan orang lain bercerita mengenai diri mereka sendiri.

Apabila berkomunikasi gambarkan kita banyak bersetuju dengan sikap dan pemikiran rakan bual. Tunjukkan kepada rakan bual kita bersetuju dengan sudut pandangannya. Manusia mudah menyukai individu-individu lain yang bersetuju dengan mereka. Tunjukkan juga idea-idea dihargai dengan cara itu estimnya meningkat. Manusia suka kepada manusia-manusia lain yang menaikkan estim mereka. Lebih baik lagi, katakan kita menganut nilai-nilai yang serupa dengan nilal nilainya. Teknik ini disebut “teknik bercermin” atau mirroring dalam bahasa Inggeris. Teknik ini adalah berdasarkan teori homofili. Teori ini mengatakan manusia suka memandang wajahnya sendiri. Mengikut teori ini, seseorang itu mudah menyukai orang yang serupa dengannya dan sudut nilai, sikap dan perangainya kerana orang yang serupa nilai, sikap dan perangainya menyukai dan membenci perkara-perkara yang sama.

Gambarkan sikap hidup positif dengan mengelakkan sikap suka merungut-rungut dan jangan bercakap berkenaan per-kara-perkara yang negatif. Elakkan daripada membuat penilaian-penilaian negatif seperti mencari salah ataupun mengkritik individu-individu lain. Kajian membuktikan manu-sia tertarik kepada orang yang positif. Apabila individu menunjukkan nilai-nilai positif, individu-individu yang ber-pegang kepada nilai-nilai positif akan menyukainya dan berminat bagi berinteraksi dengannya.

Apabila berkomunikasi ucapkan kata-kata yang membuat rakan bual berasa seronok menjadi dirinya sendiri. Gambarkan seseorang itu seronok dapat mendengar biji butir perbualan rakan bualnya dengan cara tekun mendengarnya bercakap. Apabila dia berlawak, sambut dengan gelak dan ketawa. Elakkan daripada menyampuk ataupun menyambung ayat ayatnya. Jangan mencelah dan jangan memandang ke tempat lain. Dengan cara itu keperluan jiwanya akan terisi. Manusia suka kepada manusia-manusia lain yang pandai mengisi keperluan jiwanya.

Kemahiran berkomunikasi adalah kemahiran yang besar gunanya. Menurut kajian, orang yang mahir berkomunikasi dipandang sebagai orang yang mempunyai daya tarikan. Mereka juga dipandang lebih tampan, lebih manis dan lebih jelita daripada diri mereka yang sebenarnya. Ini tidaklah menghairankan kerana dengan menggunakan teknik-teknik komunikasi yang betul, setiap kali mereka itu bercakap, mereka pandai membuat orang lain berasa seronok. Akibatnya, orang yang berpeluang bercakap-cakap dan berbual-bual dengan mereka akan jatuh suka dan tertarik kepada mereka.

Sebagai orang yang mudah disukai kita akan banyak menerima ajakan, pelawaan, jemputan dan undangan daripada mereka supaya hadir dalam majlis-majlis yang mereka adakan. Dengan menghadiri majlis-majlis itu kita berpeluang berkenalan dan bersahabat dengan lebih ramai orang lain. Dengan demikian kita mendapat banyak peluang berinteraksi dan berkomunikasi dengan mereka bagi membolehkannya perlahan-lahan mempengaruhi mereka supaya mengubah sikap dan pemikiran mereka sekarang kepada sikap dan pemikiran yang selaras dengan Islam.


Kekuatan Organisasi Islam

Mac 15, 2007

 

Apabila membicarakan tentang kekuatan sesebuah organisasi Islam atau jamaah ia akan menyentuh soal asas pembinaan organisasi / jamaah tersebut dan anggota individu yang melibatkan diri di dalamnya. Setiap anggota hendaklah memberi ketaatan dan kesetian kepada pemimpin atau pemerintahan Islam yang diasaskan oleh organisasi Islam / jamaah. Mereka merasakan lebih bertanggungjawab untuk mempertahankan Islam daripada musuh (al-Maududi 1985:26). Kekuatan akan berupaya selagi mana asasnya masih teguh dan utuh. Faktor utama yang berhubung dengan organisasi atau jamaah ialah (Harun Taib 1991:78)

1. Kekuatan dari sudut tarbiyah

Ia meliputi semua ahli yang terlibat dengan organisasi Islam / Jamaah. Tumpuan utama yang menjadi perhatian dan perhintungan masyarakat ialah kepada para pemimpin jemaah. Pemimpin yang mempunyai pentarbiyahan yang sempurna akan dapat pula mentarbiyahkan ahlinya dengan baik seterusnya akan membawa kepada kekuatan jemaah itu sendiri. Tanggungjawab yang paling besar dan berat ialah memastikan tarbiyah anggota rohiyyah (kerohanian) telah sampai kepada setiap anggota jemaah. Kelemahan tarbiyah boleh mengancam dan merobohkan benteng kekuatan perjuangan Islam.

2. Meletakkan seseorang di tempat yang sesuai.

Organisasi Islam/jamaah yang kuat dan matang ialah yang mengetahui keupayaan anggotanya serta kecenderungan mereka. Berdasarkan pengenalan inilah ia memilih dan memberi tugas yang sesuai dengan kemampuan seseorang. Dari sini seseorang yang ditugaskan itu dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Keadaan ini akan memantapkn lagi organisasi/jamaah tersebut. Tugas yang diberikan bersesuaian dengan kealiman, pengetahuan, pengalaman dan disiplin seseorang. Tanggungjawab kepimpinan pula mengikut kewibawaan, kewarakan, kejujuran, amanah dan berkebolehan memimpin serta mempunyai pengaruh dikalangan masyarakat. Manakala kedudukan pegawai dan pekerja pekerja Islam lain ditentukan mengikut kebolehan, pengalaman dan kesanggupan untuk meneruskan tanggungjawab yang telah diberikan kepada mereka.

3. Mengambil berat tentang hal anggotanya.

Organisasi Islam / jamaah yang mantap ialah yang mengambil berat tentang hal ehwal anggotanya. Ini mencerminkan keperihatinan terhadap ahli. Ia akan membantu menyelesaikan permasalahan yang timbul. Tindakan ini akan mengelakkan anggotanya dari meninggalkan organisasi Islam / jamaah. Ia sentiasa memastikan kebajikan ahlinya. Segala keperluan asaas dalam organisasi Islam / jamaah disediakan untuk kemudahan bersama. Faktor kedua pula ialah yang berkaitan dengan anggota individu dalam sesebuah organisasi Islam / jamaah (Yakan 1987:169):

i) Tabie yang tetap
Seseorang anggota yang telah beriltizam dengan sesuatu organisasi Islam / jamaah itu hendaklah mengekalkan keiltizaman dan kedudukannya tanpa tergugat oleh mana-mana sebab atau situasi yang boleh menyebabkan ianya keluar dari organisasi Islam/jamaah tersebut. Jangan pula mudah terpedaya dan merajuk lantaran kerana terpengaruh dengan situasi dan persekitaran atau oleh nilai kebendaan. Sebagai pengajarannya, kita dapati para sahabat di zaman Rasulullah saw tidak sedikitpun berganjak dari kebenaran Islam walaupun terpaksa menerima berbagai ancaman dan azab yang tidak terperi. Para ulama yang memimpin organisasi Islam/jamaah tidak pernah luntur keiltizaman mereka walaupun terdapat beberapa kepincangan di dalam organisasi atau jamaah tersebut. Mereka tetap berusaha memperbaiki dan memperteguhkan kelemahan yang sedang dialami oleh organisasi/jamaah.

ii) Daya ketahanan jiwa yang tinggi.
Setiap manusia tidak sukakan kejahatan dan tidak sanggup menghadapi permasalahan. Akan tetapi di dalam memperjuangkan hakikat kebenaran Islam, setiap anggota pejuang tidak boleh lari dari permasalahan. Kadang-kala permasalahan menyebabkan perasaan lemah semangat dan kabur harapannya. Oleh itu untuk mengatasi masalah ini, setiap anggota yang terlibat dengan organisasi / jamaah hendaklah mempunyai ketahanan jiwa yang kuat, berbekalkan iman dan ketakwaan kepada Allah swt. Amalan-amalan sunat, amalan-amalan mulia (Fadhail al A’mal) dan sentiasa mengingati Allah (Zikrullah) adalah perkara-perkara yang boleh membantu memperteguhkan jiwa. Anggota jamaah yang sentiasa bertaqqarub kepada Allah swt tidak boleh bersifat putus asa, lemah semangat dan putus harapan.

iii) Tidak melampau
Kemampuan anggota hendaklah dikenalpasti sendiri oleh setiap anggota tersebut. Kawalan dalam diri perlu diutamakan supaya tidak bertindak luar kemampuan atau secara emosi. Sikap melampau ini akan mengakibatkan seseorang itu mudah berputus asa dan menerima risiko yang berat. Oleh itu setiap anggota jamaah haruslah berwaspada, berhati-hati dan bersikap sederhana dalam menegakkan islam atau memimpin organisasi/jamaah. Tuntutan Islam tidak boleh hendak dicepatkan mengatasi kemampuan ummah, kerana ia perlu kepada masa yang lama serta perjalanan yang jauh. Ini tidak bermaksud terpaksa leka atau sengaja melambat-lambatkan dan mencari alasan supaya tuntutan Islam tidak dilaksanakan. Pemimpin dan ulama hendaklah peka terhadap sikap setiap ahli. Mereka bertanggungjawab mengawasi anggota jamaah dan membuat penilaian dari semasa ke semasa agar setiap arahan dan tindakan akan diambil tidak menimbulkan reaksi buruk. Firman Allah swt:

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapaati dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh) nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu, tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata ” Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengang sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang – orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu)”. (Surah at-Taubah:42)

Kekuatan sesbuah organisasi / jamaah bergantung kepada pengorbanan yang dicurahkan oleh setiap orang mukmin. Pengorbanan yang merangkumi dua skop utama iaitu pengorbanan yang dapat dinilai dan pengorbanan yang tidak dapat di nilai. Pengorbanan pertama yang dapat dinilai ialah pengorbanan masa, harta benda dan diri atau kekuatan fizikal. Pengorbanan kedua pula ialah pengorbanan, nyawa, buah fikiran, budi pekerti, kasih sayang kekeluargaan, persaudaraan serta perasaan (Khurasam Murad 1987:12). Pengorbanan ini mestilah dibentuk dalam disiplin diri, rohani, mental, organsisasi serta sosial. Asas ini akan menjamin kestabilan dan kelancaran pertadbiran organisasi Islam / jamaah.