Cara berkesan pikat remaja minat agama

 

Pendekatan dakwah berhikmah boleh selami kecelaruan jiwa anak muda

ZAMAN remaja yang dikenali sebagai zaman ‘storm and stress’ amat sukar difahami oleh orang dewasa. Ketidakfahaman inilah sering timbul konflik antara golongan remaja dengan orang dewasa khususnya ibu bapa dan guru.

Apabila timbul konflik antara ibu bapa, golongan remaja sering bertingkah laku yang bertentangan dengan kehendak ibu bapa dan orang dewasa kerana mereka menganggap orang dewasa tidak memahami jiwa mereka. Memahami emosi remaja pada hari ini satu keperluan kepada orang dewasa ketika mendidik golongan remaja. Begitu juga kepada pendakwah yang ingin membimbing dan menjalankan kegiatan dakwah untuk golongan ini, mereka terlebih dulu perlu memahami emosi remaja supaya seruan dakwah dilakukan bersesuaian dengan jiwa golongan ini. Dengan itu, seruan dakwah memberi kesan mendalam kepada jiwa mereka.

Emosi adalah sesuatu yang kompleks dalam diri manusia. Ia membabitkan tindak balas tubuh badan seperti pernafasan, denyutan dan lain-lain. Dalam Kamus Psikologi iaitu Mu’jam Ilm al-Nafs, mentakrifkan emosi sebagai infi’al iaitu keadaan dalaman yang menunjukkan pengalaman dan perbuatan dizahirkan dalam suatu peristiwa yang berlaku seperti perasaan takut, marah, kecewa, gembira, suka dan duka. Dalam Encyclopedia of Social Psychology pula, mentakrifkan emosi sebagai hasil tindak balas kepada sesuatu kejadian atau peristiwa termasuk tindak balas psikologikal, tindak balas tingkah laku, tindak balas kognitif dan perasaan dialami sama ada menggembirakan atau tidak.

Perkembangan emosi remaja pada peringkat awal terutama pada zaman kanak-kanak banyak dipengaruhi melalui pelaziman dan cara peniruan. Cara pelaziman berlaku dengan mudah dan cepat pada masa beberapa tahun permulaan hidup mereka. Kanak-kanak menggunakan daya imaginasi dalam membayangkan sesuatu mengikut yang telah dilazimkan. Cara peniruan pula, kanak-kanak meniru tingkah laku emosi yang diperhatikannya pada orang lain dan memberikan gerak balas terhadap perkara berkenaan dengan cara yang tidak dapat dibuatnya dulu. Oleh kerana itu, emosi remaja pada zaman kanak-kanak berkembang mengikut proses pelaziman dan peniruan.

Ibu bapa adalah orang pertama yang menjadi contoh kepada anak-anak remaja. Jika ibu bapa berkelakuan buruk, bertindak keras dan menganiaya anak-anak, emosi dan tingkah lakunya akan turut menyeleweng kerana sejak kecil jiwa mereka ditanam dengan bibit kerosakan. Ketika usia remaja pula, emosi berkembang dengan pesat hasil daripada kematangan dan pembelajaran. Itulah sebabnya bentuk pernyataan emosi pada zaman remaja banyak bergantung kepada apa yang dipelajarinya daripada masyarakat sekeliling.

Antara ciri emosi remaja ialah romantik, mudah keliru dan mudah marah atau memberontak. Remaja yang mempunyai ciri-ciri romantik adalah remaja yang mengalami tarikan heteroseksual (tarikan antara remaja yang berlainan jantina) melalui perdampingan mereka dengan remaja lain. Pada zaman remaja adalah puncak wujudnya perasaan cinta romantis. Menurut Dr Rohaty Majzub, perasaan romantis membawa pengertian bahawa mereka menganggap dan menggambarkan individu yang dicintai itulah yang paling ideal, mempunyai watak, sahsiah atau ciri-ciri yang memikat hati remaja. Perasaan romantis remaja mempunyai pengaruh mendalam kepada hidup mereka. Perasaan romantis ini mendorong remaja menulis dalam diari peribadi. Penulisan diari peribadi adalah ciri yang menunjukkan pengasingan diri dan keupayaannya untuk menghuraikan mengenai dirinya di samping keinginannya untuk lari daripada gelisah melanda dirinya. Remaja akan mencatatkan peristiwa harian terutama bagi menggambarkan perasaannya sama ada perasaan cinta, kecewa dan gembira.

Ketika zaman remaja, perubahan fizikal, emosi dan personaliti berlaku dengan pesat dan mereka harus memahaminya dengan teliti. Ketika ini juga berlaku perubahan dalam hubungan mereka dengan keluarga, rakan sebaya dan masyarakat sekeliling. Harapan yang baik dan tanggungjawab mula dikenakan kepada mereka. Dalam keadaan begini kadang-kadang mereka mudah keliru dengan peranan dan tanggungjawab mereka. Itulah sebabnya golongan remaja mudah bertukar pendirian, pendapat, ideologi dan kawan-kawan (Mahmood Nazar Mohamed, 1990).

Selain itu, remaja juga mempunyai emosi yang mudah marah. Zaman remaja yang dikatakan sebagai ‘storm and stress’ mudah menyebabkan remaja memberontak dan marah terhadap seseorang atau sesuatu perkara. Seseorang remaja mempunyai kehendak yang harus diterima keluarga, rakannya dan masyarakat sekeliling. Remaja mudah menunjukkan emosi memberontak dan marahnya dengan tindakan agresif seperti menderhaka kepada keluarga, lari dari rumah dan ingkar dengan peraturan sekolah. Mereka menderhaka kepada keluarga sebagai percubaan untuk bebas daripada sifat keanak-anakan dan untuk mencapai kemerdekaan jiwa. Jiwa ingin lari dari rumah pula, apabila mereka rasa tidak selesa dengan undang-undang dan cuba untuk hidup bebas.

Tindakan ingkar dari peraturan sekolah pula, kerana remaja menganggap pembelajaran di sekolah mengganggu jiwa remajanya kerana di sekolah terdapat banyak peraturan dan ruang kritikan seperti guru, kerja sekolah dan disiplin. Pendakwah perlu memahami bahawa remaja yang dalam proses perkembangan dan perubahan boleh menimbulkan pelbagai masalah emosi kerana mereka sedang berhadapan dengan proses penyesuaian diri antara zaman kanak-kanak dengan alam dewasa.

Bagi remaja yang bersedia dengan kehadiran masalah dan sanggup menerimanya dengan hati terbuka, mereka berjaya menerima perubahan itu sekali pun kadang kala pahit baginya. Tetapi bagi sesetengah remaja pula, tidak berupaya menyesuai atau menerima dengan mudah perubahan itu, lalu menunjukkan gangguan psikologi pada dirinya. Dr Zakiah Daradjat, seorang pengkaji masalah remaja berkata, perkara yang menyebabkan masalah emosi remaja adalah disebabkan oleh perubahan jasmani, terutama perubahan hormon seks, keadaan masyarakat dan keadaan ekonomi yang melingkungi remaja serta perlakuan orang tua yang kaku dan bertentangan dengan remaja. Masalah yang berkaitan dengan emosi remaja disebut juga sebagai masalah personal psikologi (Hassan Langgulung,1977). Masalah personal psikologi ialah perkara yang berkaitan peribadi dan masalah psikologi remaja itu sendiri seperti personaliti, perubahan emosi, kebimbangan, kerisauan, keyakinan dan tekanan. Masalah personaliti seperti mudah hilang sabar, takut membuat kesilapan, sukar membuat keputusan, sukar melupakan kesilapan lalu dan gagal dalam beberapa perkara dilakukan. Zaman remaja yang penuh dengan tekanan dan kecelaruan emosi, amat memerlukan pendekatan dakwah berhikmah dalam proses memberi bimbingan kepada golongan ini. Pendakwah perlu menggunakan pendekatan psikologi dakwah. Untuk melaksanakan pendekatan psikologi dakwah, terlebih dulu pendakwah perlu memahami psikologi remaja. Dengan pemahaman ini, pendakwah dapat menyelami emosi dan jiwa remaja serta dapat menggunakan pendekatan sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka.

Remaja amat memerlukan sokongan dan pemahaman daripada orang dewasa ketika mereka mengharungi zaman yang penuh dengan cabaran ini. Ketika ini, perubahan dari aspek emosi agak pesat. Sekiranya mereka tidak mendapat sokongan daripada orang dewasa, mereka mudah mengalami gangguan emosi dan menimbulkan masalah emosi yang boleh memberi kesan tidak baik kepada perkembangan psikologi remaja.

INTI PATI:

 

  • Seruan dakwah dilakukan bersesuaian dengan jiwa remaja supaya seruan memberi kesan mendalam membimbing mereka.
  • Ketika usia remaja pula, emosi berkembang dengan pesat hasil daripada kematangan dan pembelajaran, maka bentuk pernyataan emosi pada zaman remaja banyak bergantung kepada apa yang dipelajarinya daripada masyarakat sekeliling.
  • Antara ciri emosi remaja ialah romantik, mudah keliru dan mudah marah atau memberontak.
  • Penulisan diari peribadi adalah ciri yang menunjukkan pengasingan diri dan keupayaannya untuk menghuraikan mengenai dirinya di samping keinginannya untuk lari daripada gelisah melanda dirinya.
  • Pendakwah perlu menyelami emosi dan jiwa remaja serta dapat menggunakan pendekatan sesuai dengan minat dan kecenderungan mereka. Oleh Dr Fariza Md Sham

    Penulis adalah Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Emel-farisham@ pkrisc.cc.ukm.my

  • One Response to Cara berkesan pikat remaja minat agama

    1. Yaz Okulu berkata:

      does anyone knows if there is any other information about this subject in other languages?

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: