Kedudukan tasawuf dalam Islam

Zaman berzaman berlalu, di mana ilmu tasauf terus mengibarkan sayapnya dalam memainkan peranannya dalam pembentukan umat Islam yang mantap. Walaupun dalam masa yang sama, tasauf juga sering mendapat tentangan yang hebat samada daripada musuh-musuh Islam mahupun dari kalangan umat Islam sendiri.

Jika direnung semula, kita akan dapati bahawa, ada di kalangan umat Islam yang menentang tasauf berdasarkan beberapa faktor antaranya: jahil tentang hakikat tasauf, dengki terhadap gerakan tasauf ataupun tidak mahu mengambil manfaat daripada ilmu tasauf itu sendiri kerana cintakan keduniaan dan sebagainya.

Jadi, risalah ini cuba untuk menjelaskan secara ringkas mengenai hakikat tasauf dalam beberapa siri Pengenalan Tasauf agar (sekurang-kurangnya) golongan yang jahil tentang tasauf mendapat imformasi yang jelas tentang apa itu tasauf?

Siri Pengenalan Tasauf ini didasari oleh buku-buku karangan Ustazuna Rahimuddin An-Nawawi (guru penulis) h.f.l. dan beberapa buku yang lain. Semoga perbicangan ini dapat di manfaatkan oleh sesiapa yang jujur dalam mencari hakikat sebenar Tasauf dalam Islam.

Fasal 1: Kedudukan Tasauf dalam Islam

Apabila kita membincangkan mengenai tasauf, perlulah kita ketahui terlebih dahulu beberapa persoalan penting iaitu, adakah tasauf merupakan suatu intipati dari ajaran Islam?

Jawapan:

Ya, tasauf merupakan intipati ajaran Islam berdasarkajn beberapa aspek:

Pertama: Tasauf merupakan antara intipati risalah Islam

Rasulullah s.a.w. merupakan utusan Allah s.w.t. yang berperanan untuk menjelaskan hukum-hakam Islam, menpraktikkan perundangan dan hukum Islam dalam masyarakat dan mendidik jiwa manusia (tazkiyah an-nufus) agar berakhlak dengan akhlak yang mulia.

Setelah kewafatan Baginda s.a.w., para khalifah Islam memainkan peranan yang telah dimainkan oleh Rasulullah s.a.w. Namun, setelah zaman khulafa’ Ar-Rasyidin, khalifah-khalifah Islam tidak mampu lagi berperanan dalam menjelaskan hukum-hakam Islam dan mendidik jiwa umat Islam.

Ini kerana, kebanyakan khalifah-khalifah Islam tidak lagi menguasai ilmu-ilmu untuk mengeluarkan hukum Islam dari Al-Qur’an dan As-Sunnah, seterusnya tidak mampu juga untuk menjelaskan mengenai hukum syariat Islam dengan jelas. Maka, timbullah golongan fuqaha’ yang mengambil peranan dalam menjelaskan hukum-hakam Islam kepada masyarakat. Golongan tersebut mendalami ilmu Fiqh dan Usul-Fiqh sebagai dasar untuk mengeluarkan hukum-hukum Islam dari Al-Qur’an dan As-Sunnah dan menjelaskan kepada masyarakat mengenai syariat Islam.

Adapun dalam bidang pendidikan jiwa pula, maka timbullah suatu golongan yang lain, yang mengambil peranan dalam mendidik jiwa umat Islam dengan pendidikan akhlak yang mulia. Golongan tersebut pada mulanya dikenali oleh golongan zuhhad (orang-orang zuhud) dan kemudiannya lebih dikenali dengan golongan sufiyah (orang-orang sufi). Pendidikan jiwa dan akhlak yang dilaksanakan oleh mereka pula lebih dikenali dengan ilmu Tasauf.

Maka, hal ini jelas bahawa, tasauf merupakan antara intipati risalah Islam yang mana, ianya juga termasuk dalam bidang tugas Rasulullah s.a.w. dalam menyebarkan risalah Islam. Ini kerana, antara intipati ajaran Islam ialah, penyucian jiwa dan tasauf merupakan manhaj penyucian jiwa yang diamalkan oleh golongan sufi dalam membersihkan jiwa umat Islam.

Kedua: Tasauf merupakan antarqa rukun agama Islam

Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. :

عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب رضي الله عنه قال: بينما نحن عند رسول الله صلى الله عليه وسلم ذات يوم، إذ طلع علينا رجل شديد بياض الثياب. شديد سواد الشعر. لا يرى عليه أثر السفر. ولا يعرفه منا أحد. حتى جلس إلى النبي صلى الله عليه وسلم. فاسند ركبتيه إلى ركبتيه. ووضع كفيه على فخذيه. وقال: يا محمد! أخبرني عن الإسلام . فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: الإسلام أن تشهد أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله صلى الله عليه وسلم. وتقيم الصلاة. وتؤتي الزكاة. وتصوم رمضان . وتحج البيت ، إن استطعت إليه سبيلا قال: صدقت. قال فعجبنا له. يسأله ويصدقه. قال: فأخبرني عن الإيمان. قال: أن تؤمن بالله، وملائكته، وكتبه، ورسله، واليوم الآخر. وتؤمن بالقدر خيره وشره قال: صدقت. قال: فأخبرني عن الإحسان . قال: أن تعبد الله كأنك تراه . فإن لم تكن تراه ، فإنه يراك . قال : فأخبرني عن الساعة. قال: ماالمسؤول عنها بأعلم من السائل قال: فأخبرني عن أماراتها . قال: أن تلد الأمة ربتها . وأن ترى الحفاة العراة العالة رعاء الشاء، يتطاولون في البنيان. قال ثم انطلق. فلبثت مليا. ثم قال لي: يا عمر! أتدري من السائل؟ قلت: الله ورسوله أعلم. قال: فإنه جبريل أتاكم يعلمكم دينكم .
متفق عليه

Yang bermaksud: “… berkata pemuda itu kepada Rasulullah s.a.w.: ” beritahu saya tentang apa itu Islam?”…Sehinggalah pertanyaan yang ketiga di mana pemuda itu bertanya: “beritahu aku tentang ihsan?” Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa, ihsan ialah, bahawasanya kamu menyembah Allah s.w.t. seolah-olah kamu melihat-Nya. Jika kamu tidak melihat-Nya, ketahuilah bahawa Dia melihat kamu”. (Muttafaq ‘alaihi)

Dalam hadis tersebut Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa, rukun agama ada tiga iaitu: Iman, Islam dan Ihsan. Adapun tasauf tidak lain dan tidak bukan ialah perbahasan mengenai Ihsan itu sendiri. Ilmu tasauf membincangkan mengenai bagaimana untuk menyempurnakan amalan seseorang muslim, yang mana ianya merupakan ilmu tentang perbahasan Ihsan yang dimaksudkan di dalam hadis tersebut.

Ketiga: Tasauf merupakan hakikat bagi Syariat Islam

Berdasarkan hadis tersebut, Islam merupakan peringkat amalan yang zahir, dalam bentuk ibadat, pergaulan dan sebagainya yang mana tempatnya ialah pada anggota zahir manusia. Adapun perbincangan mengenainya dibincangkan dalam ilmu Fiqh dan ianya dikenal juga sebagai Syariat.

Manakala, perbahasan iman, merupakan perbahasan tentang kepercayaan hati seseorang, samada keimanan kepada Allah s.w.t., para Rasul-Nya a.s. dan perkara-perkara yang ghaib yang lain. Ilmu tersebut dibincangkan oleh para ulama’ ilmu Tauhid.

Adapun Ihsan, ianya merupakan perbincangan dari sudut kerohanian manusia di mana letaknya di hati rohani manusia. Ia membincangkan mengenai perasaan manusia dalam bermuamalah dengan Allah s.w.t. dengan adab-adab dan akhlak-akhlak yang mulia. Ia juga membincangkan mengenai perkara-perkara yang lahir dari hasil berbaik hubungan dengan Allah s.w.t. samada dalam bentuk perasaan (azwaq) maqom (kedudukan kerohanian seseorang) dan sebagainya. Inilah yang dipanggil sebagai hakikat.

Untuk menjelaskan tentang hubungan antara Syariat dan Hakikat, kami bagi contoh iaitu solat.

Solat secara syariatnya (atau secara zahirnya) merupakan pergerakan-pergerakan khusus seperti mengangkat takbir, ruku’ sujud dan sebagainya. Adapun hakikat (atau batinnya) bagi solat ialah, khusyuk, atau rasa kehadiran hati dalam mengingati Allah s.w.t.

Solat yang didirikan secara zahir dipanggil syariat dan khusyuk merupakan hakikat ibadah solat tersebut. Ibadah solat zahir tanpa khusyuk bererti, ibadah tersebut mati tanpa roh atau hakikat. Manakala, tiada hakikat tanpa syariat. Ini kerana, syariat perlulah sejajar dengan Syariat.

Maka, untuk mendapat kelazatan dalam beribadah, perlulah disertai dengan hakikat ibadah itu sendiri, iaitu, rasa kewujudan Allah s.w.t. yang memerhati kita, dalam hati kita. Untuk mendapatkan perasaan tersebut, perlulah dengan toriqah. Tariqoh ialah, melawan hawa nafsu, membuang sifat yang buruk dan berakhlak dengan akhlak yang mulia.

Maka, kesimpulannya:

Syariat: Asas

Toriqah: Jalan

Hakikat: Hasil

Maka, tasauf merupakan ilmu yang membincangkan jalan untuk sampai kepada hakikat ibadah. Demikianlah sedikit sebanyak penjelasan tentang kedudukan tasauf dalam Islam. Jelaslah kita bahawa, tasauf merupakan intipati dari ajaran Islam dan ianya juga merupakan proses penyempurnaan ibadah seseorang manusia dan proses pendidikan jiwa supaya manusia beradab kepada Allah s.w.t.

Wallahu a’lam….

AlFaqir ila Rabbihi Al-Jalil

Ahmad Mukhlis As-Syazuliyah Al-Darqowiyah

09 Mac 2006 M

مدخل الى التصوف الصحيح الاسلامى للأستاذ رحيم الدين ص:8

Ibid, m/s 20

Ibid, m/s 21

Ibid

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: