Keperluan Asas Ahli Neraka

Mac 28, 2007

Pakaian Ahli Neraka

Alangkah sengsaranya nasib yang dialami oleh para ahli neraka. sesaat pun mereka tidak pernah merasa senang. Mereka tidak pernah bahagia, sentiasa dalam keadaan miskin dan hina. Ia amat jauh berbeza kalau dibandingkan dengan kehidupan ahli syurga yang penuh dengan segala kenikmatan seperti istana yang indah, rezeki yang banyak, makanan yang lazat, pakaian yang cantik dan sebagainya.

Pakaian ahli syurga berupa sutera yang tebal dan halus berwarna hijau. Manakala pakaian ahli neraka pula berupa pakaian dari api neraka. Ini jelas disebutkan dalam al-Quran melalui firmanNya:

Maka orang kafir akan dibuatkan mereka pakaian-pakaian daripada api neraka (al-Hajj:19)

Gambaran dari ayat tersebut menunjukkan bahawa pakaian ahli neraka diperbuat daripada api, sedangkan manusia sendiri jika terpijak puntung rokok sahaja sudah terasa panas dan boleh menyebabkan melecur. Bagaimana pula jika dipakaikan pakaian yang diperbuat daripada api neraka yang panasnya 70 kali ganda dari api dunia. Ada sebuah riwayat yang menyebutkan bahawa pakaian mereka daripada tembaga atau benda kuning yang dibakar api. Inilah kesengsaraan ahli neraka. Malam di dalam al-Quran ada menyebut bahawa pakaian ahli nereka berupa pelangkin (minyak tar) yang mendidih.

Pakaian mereka ialah dari pelangkin dan muka mereka ditutup oleh api neraka. (Ibrahim:50)

Makanan Ahli Neraka

Di dalam al-Quran menyebutkan bahawa ahli neraka itu sama-sama merintih dan merasakan keletihan serta dahaga. Mereka sangat inginkan makanan dan minuman. Namun bagi mereka di neraka memang tidak ada disediakan makanan dan minuman yang lazat-lazat seperti di syurga. Betapa sengsaranya mereka ketika itu, mahukan makanan tetapi yang ada hanyalah pohon berduri. Malah jika memakannya, langsung tidak mengenyangkannya. firman Allah swt:

Mereka tidak memperolehi makanan selain daripada pohon yang berduri, yang tidak menggemukkan dan tidak pula mengenyangkan (al-Ghasiyah:6-7)

Selain dari mendapatkan makanan dari pohon berduri itu, mereka juga disediakan makanan lain berupa buah zaqqum yang hanya tumbuh di neraka. Firman Allah:

Pasti akan memakan pohon zaqqum (al-Waqiah: 52)

Firmannya lagi:

Sesungguhnya pohon Zaqqum itu makanan orang yang banyak dosa, Ia merupakan kekotoran minyak dalam perut sepertimana air yang sangat panas (ad-Dukhan: 43-46)

Sesungguhnya kami menjadikan pohon zaqqum itu sebagai ujian bagi orang-orang yang zalim, Sesungguhnya ia merupakan sebatang pokok yang keluar dari dasar neraka seperti kepala-kepala syaitan. Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebahagian dari buah pohon itu, maka mereka memenuhi perutnya dengan buah zaqqum itu (as-Shaffat: 63-66)

Berdasarkan ayat-ayat tersebut, ia jelas mengemukakan dan memastikan bahawa makanan ahli neraka ialah:

1. Pohon atau buah yang berduri yang jika dimakan tidak dapat mengenyangkan atau menggemukkan.

2. Buah zaqqum yang pohonnya tumbuh dari dasar neraka dan buahnya berupa kepala syaitan dan amat menakutkan. Jika dimakan ia akan merosakkan segala isi perut kerana ia menyebabkan perut mengelegak kerana panas. Inilah kesengsaraan ahli neraka.

Selain itu, jika dimakan semua makanan ahli neraka ia akan menyumbatkan saluran dalam kerongkong atau tekak. firman Allah:

Dan makanan yang tersumbat di kerongkong dan azab yang pedih (al-Muzammil: 13)

Di dalam al-Quran juga diterangkan dengan jelas bahawa antara makanan dan minuman ahli neraka ialah darah dan nanah.

dan tidak pula makanan sedikitput kecuali darah dan nanah. Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa (al-Haqqah:36-37)

Demikianlah makanan-makanan ahli neraka yang menjijikkan. Ia merupakan sebahagian seksaan ke atas mereka dalam neraka Allah.

Minuman Ahli Neraka

Di dalam neraka dinyatakan juga bahawa ahlinya mendapat minuman. Tetapi semua minuman yang disediakan untuk mereka menakutkan, sebab di dalam al-Quran disebutkan bahawa ia berupa air mata air yang mendidih, sangat oanas dan tidak akan sejuk. Apabila ia diminum, sebaik sahaja masuk ke dalam perut akan menyebabkan tali perut hancur. Betapa ngerinya. Firman Allah:

Memasuki api yang sangat panas (neraka). Diberikan minuman dengan air dari sumber yang amat panas (al-Ghasiyah:4-5)

Sesudah itu kamu akan meminum air yang sangat panas. (al-Waqiah: 54)

Selain itu, minuman mereka juga berupa air nanah dan darah bekas luka daripada ahli-ahli neraka yang diseksa. Inilah yang lebih mengerikan bagi orang yang beriman. Inilah sebagai balasan atas kederhakaan mereka dahulu. Sedangkan nanah dan darah merupakan kekotoran yang menjijikkan.

Mereka tidak merasakkan kesenangan di dalamnya dan tidak pernah mendapat minuman selain dari air yang sangat panas dan nanah (air yang mengalir dari nanah ahli neraka) sebagai balasan yang setimpal (an Naba: 24-26)

Ayat- ayat tersebut menunjukkan dengan jelas bahawa di antara minuman ahli neraka ialah:

1. Air yang sangat panas dan tidak pernah sejuk

2. Air nanah yang menjijikkan yang mengalir dari penguni neraka sendiri.

3. Darah luka dari ahli neraka ketika diseksa.

Dinyatakan dalam sebuah keterangan bahawa ketika ahli-ahli neraka mahu minuman, maka berserulah malaikat Malik iaitu penjaga Neraka; Wahai ahli neraka, wahai orang-orang yang dimurkai Allah, tetaplah kamu seperti ini!

Mereka menyahut “wahai Malik! Berilah kami sedikit air kerana kami amat memerlukannya. Api telah memakan daging dan tulang-tulang kami. Kulit menjadi koyak dan tulang telah retak. Lalu malaikat Malik memberikan minuman kepada mereka seteguk minuman yang mendidik yang jika dipegang akan hancurlah semua isi tangan atau jika minum sampai ke perutnya, akan terputuslah usus dan hatinya. Nauzubillah!

Allah swt berfirman:

Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang-orang yang zalim itu neraka yang gelojaknya mengapung mereka dan jika mereka inginkan minuman, maka mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidik dan menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat yang paling hina. (Kahfi: 29)

Demikianlah ancaman Allah terhadap orang-orang kafir yang menentang kebenaran ajaran Allah dan rasulNya. Mereka akan diberi minuman berupa air mendidih, darah dan nanah, Nauzubillah!

Advertisements

Ahli Neraka dan Kesengsaraannya.

Mac 28, 2007

Ingatlah firman Allah s.w.t;

Dan ingatlah hari ketika musuh-musuh Allah dibawa ke dalam neraka lalu mereka dikumpulkan semuanya (Fussilat:19)

Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap mereka tentang apa yang mereka lakukan. Sebagaimana firman Allah:

Demikianlah balasan terhadap musuh-musuh Allah iatu neraka, mereka mendapat tempat tinggal yang kekal di dalamnya sebagai pembalasan atas keingkaran mereka kepada ayat-ayat kami (Fussilat:28)

Dalam satu keterangan disebutkan bahawa ketika musuh Allah dihalau ke neraka, maka muka-muka mereka bertukar menjadi hitam gelap, penglihatan menjadi kabur, hatinya gementar dan mulutnya terkunci.

Setibanya di pintu-pintu nereka, mereka sudah dihadang oleh para malaikat Zabaniyah (Malaikat perkasa yang menyeksa ahli neraka) dengan membawa rantai dan belenggu serta cambuk dari besi. Lalu kaki dan tangan mereka diikat, kemudian diseret mukanya serta dilemparkan ke dalam api neraka yang bergelojak. Para malaikat turut memukul dan menyeksa mereka menggunakan palu yang diperbuat daripada besi. Jika mereka ingin keluar dari neraka, maka dilemparkan semula ke dalam neraka dan dikatakan kepada mereka:

Rasakanlah seksaan neraka yang dahulu kamu mendustakan (As-Sajadah: 20)

Keadaan Ahli Neraka

Al-Quran mengisyaratkan dengan jelas keadaan ahli neraka itu sentiasa diliputi oleh rasa takut dan khuatir, bersedih, menyesal, letih, dahaga dan dalam keadaan hina. Mereka di dalam neraka akan saling jerit menjerit minta dikeluarkan dari neraka dan ingin segera mati. Tetapi apa yang mereka harapkan itu tidak dihiraukan. Keadaan ahli neraka semuanya kurus, badan mereka luka parah akibat bersentuhan dengan api yang menyala-nyala serta azab yang sangat pedih. Keadaan mereka juga amat dasyat, setegah mati dan setengah hidup. Ini sebagaimana firman Allah:

Orang-orang yang celaka (kafir) akan menjauhinya. iaitu orang yang akan memasuki api yang benar (neraka). Kemudian dia tidak mati dan tidak pula hidup di dalamnya (Al-A’la:11-13)

Sesungguhnya barang siapa datang kepada Tuhannya dalam keadaan berdosa, maka baginya neraka Jahanam. Dia tidak mati didalamnya dan tidak pula hidup (Tahaa: 74)

Maksud tidak mati di sini ialah mereka selalu merasakan azab dan maksud tidak hidup pula ialah hidup yang dapat digunakan untuk bertaubat

Di dalam neraka, mereka juga diberikan makanan dan minuman namun apa yang disediakan untuk mereka sangat menggerunkan bagi orang yang beriman kerana ia tidak dapat mengenyangkan dan tidak dapat menghilangkan keletihan. Firman Allah:

Yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar (Al-Ghasiyah: 7 )

Mereka juga diberikan pakaian, namun pakaian itu daripada api yang sudah tentu membakar tubuh sesiapa sahaja yang memakainya. Oleh itu pada hakikatnya keadaan ahli neraka itu sentiasa dalam kesengsaraan dan tidak pernah lepas dari ancaman seksaan yang sangat pedih.

Didalam ayat lain menyebutkan, bahawa ahli neraka berada dalam keadaan cacat akibat dibakar oleh api neraka. Firman Allah swt:

Muka mereka dibakar api neraka dan mereka dalam neraka itu dalam keadaan cacat (Al-mukminun:104)

Rupa Ahli Neraka

Didalam al-Quran diterangkan dengan jelas bahawa bentuk wajah ahli neraka sudah kelihatan terhina sejak datangnya hari kiamat kelak. Ini akibat dari kekufuran dan berbagai dosa yang telah dilakukan selama hayatnya di muka bumi ini. Walaupun dahulu ketika di dunia mereka mempunyai wajah yang hensem, lawa dan menawan, tetapi di akhirat nanti wajah mereka segera bertukar menjadi hina dan hodoh.

Ini kerana mereka tidak mahu beriman, tidak pernah mendirikan solat, tidak pernah berpuasa dan tidak pernah melakukan apa jua ibadah. Wajah mereka menjadi hitam melegam, hangus dan kelihatan muram seperti ditiup debu. Ini bukannya suatu yang karut dan berlebihan tanpa bukti tetapi ia merupakan satu kenyataan yang tidak boleh dibohongi atau diragukan lagi. Sebab Allah sw berfirman di dalam al-Quran:

Banyak muka pada hari kimat tunduk terhina (al-Ghasiyah:2)

Ingatlah akan hari yang di waktu itu ada muka menjadi putih berseri dan ada muka yang menjadi hitam muram. Dikatakan kepada mereka orang-orang yang wajahnya menjadi hitam dan muram ‘kenapa kamu kafir selepas kamu beriman? kerana itu rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu (Ali Imran)

Ketika mereka melihat azab (pada hari kiamat) sudah dekat, maka orang-orang kafir itu menjadi muram. Dan katakanlah kepada mereka, inilah azab yang dahulunya kamu selalu meminta-mintanya (al-Mulk: 27)

Dan banyak pula wajah pada hari itu tertutup debu. Dan ditutup lagi oleh kegelapan. Mereka itulah orang-orang kafir lagi derhaka (Abasa:40-42)


Hukum Syar’ie (Hukum Fiqh)

Mac 28, 2007

Selain dari hukum akal, wajib bagi kita mengetahui ilmu syara’ atau hukum syari’ie, yakni hukum fiqih.

Erti hukum syar’ie ialah hukum- hukum agama Islam yang merupakan perintah Allah atau larangannya. Yang mana tiap-tiap orang Islam yang mukallaf, yakni yang sudah diberati hukum syara’ atau yang dikatakan akhil-baligh, artinya orang yang berakal sehat dan cukup dewasa, maka wajib atasnya mengetahui hukum tersebut.

Maka hukum itu terbahagi kepada dua:

a) Khitabut-taklif
b) Khitabul-wadh’i

kitabut-taklif ialah suatu hukum yang bergantung kepada sebab dan syarat atau maanii (cegahan).

Misalnya diwajibkan orang melakukan sembahyang lima waktu sebab ia sudah akhil baligh dan sudah masuk waktunya. Maka waktu itu adalah merupakan satu syarat dan sebab orang Islam wajib melakukan sembahyang. Jadi tidak wajib melakukan sembahyang ke atas anak kecil dan tidak wajib jika belum datang waktunya. Dan tidak wajib orang perempuan yang beragama Islam melakukan sembahyang kerana dia datang haid atau bersalin maka inilah yang dinamakan “maanii” menurut hukum syara’

Khitabul-wadh’i ialah suatu hukum, yang Tuhan letakkan dan tentukan pada tiap-tiap makluk, misalnya ilmu ikan hidup di dalam air dan manusia hidup di daratan.

Dan misalnya yang lain, kaum ibu Tuhan jadikan yang mengandung dan melahirkan. Demikian Tuhan letakkan dan tentukan pada diri kaum ibu sejak dahulu sampai sekarang.

Demikian Tuhan jadikan dan letakkan hukumnya pada tiap-tiap diri manusia. Besar dan kecil, tua dan muda, laki-laki dan perempuan, manusia mempunyai lapar. Oleh demikian mereka berkehendakkan makanan.

Namun bagi bangsa malaikat Tuhan jadikan dan tentukan, hukumnya lain lagi. Mereka tidak ditaruh (diberikan) rasa lapar dan rasa haus. Oleh kerana itu mereka tidak berhajat akan makanan dan minum dan sebagainya. Demikianlah erti dan maksud yang dinamakan “Khitabul-Wadhi


Hukum Aqli (Hukum Akal)

Mac 28, 2007

Yang dimaksudkan dengan hukum akli, adalah hukum akal. Sesungguhnya yang dinamakan akal yang sempurna, ialah satu cahaya yang gemilang yang terletak di dalam hati orang mukmin. Maka dengan sebab akal itu, orang dapat mengetahui apa yang dikatakan “ilmu dharuri” iaitu satu ilmu yang tidak memerlukan dalil-dalil atau keterangan dan dengan sebab akal itu pula orang dapat mengetahui ilmu “Nadzhari” iaitu ilmu yang memerlukan dalil-dalil atau keterangan.

Dan erti hukum akal itu, menetapkan suatu barang bagi adanya suatu barang. Atau menidakkan suatu barang kerana lantaran tidaknya suatu barang yang lain. Misalnya adanya sebuah rumah, lantaran adanya tukang rumah, Maka mustahil rumah itu jadi dengan sendirinya.

Demikian pula misalnya tidak ada sebuah rumah, kerana lantaran tidak ada tukang yang membuatnya dan dapat diqiaskan seterusnya.

Hukum Akal terbahagi kepada 3;

Wajib:

Iaitu barang yang tidak dapat diterima pada akal akan tidaknya, misalnya Allah itu wajib adanya.

Mustahil:

Iaitu barang yang tidak dapat diterima pada akal akan adanya, Misalnya mustahil Allah “tidak ada”.

Jaiz:

Iaitu barang yang harus (yakni mungkin) saja adanya atau tidaknya alam yang baharu ini. 


Nama – Nama Neraka

Mac 26, 2007

Al-Quran mengemukakan dengan jelas bahawa neraka itu mempunyai nama – nama yang sendiri. Ia mempunyai lapan nama iaitu:

Neraka Jahanam

Bukankah dalam neraka jahanam itu ada tempat bagi orang-orang kafir? (al-ankabut:68)

Dan kami akan menghalau orang-orang yang derhaka ke neraka Jahanam dalam keadaan dahaga (Maryam:86)

Katakanlah api neraka Jahanam itu lebih panasnya (At Taubah: 81)

Pada hari mereka didorong ke neraka Jahanam dengan sebenar-benarnya (At Thur:13)

Sesungguhnya barang siapa datang kepada Tuhannya dalam keadaan dosa, maka neraka Jahanam baginya. (Tahaa:74)

Dan kami masukkan dia ke dalam Jahanam dan Jahanam itu seburuk-buruk tempat kembali (An Nisa: 115)

Neraka Jahim

Nama neraka yang kedua ialah Jahim juga banyak disebut dalam ayat-ayat al-Quran. Di antaranya ialah firman Allah swt:

Dan Allah memelihara mereka daripada azab neraka (Al-Dukhan: 56)

Nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahim (At Takathur:6)

Neraka Hawiyah 

Allah swt telah menyebut dalam ayat al-Quran surah al-Qariah:

Dan orang-orang yang ringan timbangan kebaikannya, maka tempat kembalinya ialah neraka Hawiyah dan tahukah kamu apakah neraka Hawiyah itu? Iaitu api yang sangat panas (al-Qariah:8-11)

Neraka Wail

Firman Allah swt mengenainya:

Dan kecelakaan (wail) bagi orang-orang kafir kerana seksaan yang sangat pedih (Ibrahim: 2)

Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, Yang mereka itu lalai dari solatnya. (Al-Ma’un:4-5)

Lalu beberapa golongan berselisihan faham sesama mereka akan malanglah orang-orang yang tidak mempercayai akan menemui hari yang dasyat (Maryam: 37)

Masih banyak ayat-ayat al-Quran menyebut mengenai sebab jelas orang yang masuk neraka Wail ialah orang yang celaka, bahkan celaka secelakanya.

Neraka Sa’ir 

Nama Neraka yang kelima ini banyak disebutkan dalam al-Quran. Di antaranya sebagaimana firman Allah:

Dan kami sediakan bagi mereka neraka yang menyala-nyala (Al-Mulk: 5)

Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuhmu kerana syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala (Fathir: 6)

Sesungguhnya Allah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api yang menyala-nyala yakni neraka (al-Ahzab:64)

Dan barang siapa yang tidak beriman kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Kami menyediakan untuk orang-orang lafir neraka yang menyala-nyala. (Al-Fath:13)

Neraka Ladha

Sebagaimana firman Allah swt:

Sesekali tidak dapat. Sesungguhnya neraka itu ialah api yang bergelojak, yang mengelupas kulit kepala (Al-Ma’arij:15-16)

Neraka Saqar

Sebagaimana disebut dalam al-Quran:

Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)? Mereka menjawab, kami dulu tidak termasuk orang yang mengerjakan solat (Al-Muddathir;42-43)

Neraka Khutomah

Firman Allah swt:

Dan tahukah kamu apakah khutomah itu? Iaitu api yang disediakan  Allah yang dinyalakan, yang naik sampai ke hati (Al-Humazah: 5-6)


Suka mengeluh?

Mac 25, 2007

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.

Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.

Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di dalam hidupnya.

Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri anda,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.

Sebelum kita mengeluh & memarahi ibu dan bapa kita yang masih hidup
Fikirkan tentang seseorang yang merintih pilu memerlukan kasih sayang ibu dan bapa

Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.

Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.

Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.

Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.

Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.

Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup!

*BELAJARLAH BERSYUKUR SEBELUM TERLAMBAT !!!!*


Wajib menuntut ilmu agama

Mac 23, 2007

 

Para pembaca sekelian,

Menuntut ilmu agama adalah wajib hukumnya. Berdosalah orang yang meninggalkannya. Inilah termasuk perintah agama sebagaimana sabda Nabi s.a.w ” Menuntut ilmu fardu atas tiap-tiap orang Islam

Selain dari itu wajib pula atasnya marifatullah, Yakni mengenal ia akan sifat-sifat Allah dengan seyakin-yakinnya, seperti diterangkan didalam kitab Zuba: Awwalu waajibin’ alal insaani, huwu ma’fifatullahi bi istiiqooni” artinya awal dan pertama atas manusia, ialah mengenal Allah dengan seyakin-yakinnya.

Suatu keterangan kitab Khotbah Habib Thohir bin Husain sebagai berikut: Fa’lamuu ayyuhal ikhwah, Annal ashla wal-asaasa ma’rifatul ma’buudi qoblal ibaadat wa dzalikaa haqiqotu ma’nasy syahadaati” artinya: ketahuilah wahai saudara sekalian, Sesungguhnya asas dan pokok agama ialah, mengenal betul siapa yang disembahnya, sebelum ia melakukan amal ibadat. Dan demikian arti hakikat syahadat itu.

Ibarat seorang pegawai harus mengenal siapa dia bekerja dan siapa yang menjadi majikan kerana majikannya itu yang memberi gaji padanya. Dan jangan bekerja cuma asal bekerja saja. Kerana itu dia harus mengetahui peraturannya.

Jika saudara mengetahui hakikat makna dua kalimah syahadah itu, mengetahui akan ma’rifatullah, Juga hendaknya saudara mengetahui ikhtikad yang jazim atau jazam yang muafakat pada hak dengan dalil, yakni yang dapat diterima pada akal serta dengan dalil dan keterangannya.

Arti Jazim atau jazam menurut ilmu Usul adalah iktikad yang pasti, kepercayaan yang tida ragu-ragu, dan bukan syak wasangka. Menurut istilah sekarang kepercayaan yang tegas, kokoh kuat, tidak dapat ditawar-tawar.

Maka yang dinamakan jazam itu terbahagi kepada empat bahagian seperti berikut:

1. Jazam
Yang muafakat pada hak, serta dengan dalil, inilah yang dinamakan MAKRIFAT.

2. Jazam
Yang muafakat pada hak tapi tidak dengan dalil, inilah yang dinamakan TAQLID SHAHID

3. Jazam
Yang tidak muafakat pada Haq, tapi dengan dalil, inilah yang dinamakan JAHIL MURAKKAB.

4. Jazam
Yang tidak muafakat pada hak dan juga tidak dengan dalil, inilah yang dinamakan TAQLID BATHIL